Oleh Wu Vuide
TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) akan mengemukakan cadangan semakan persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu telah menerima beberapa cadangan berhubung semakan persempadanan membabitkan kawasan Kota Belud, Penampang dan Sepanggar.
“Di Kota Belud, usul Upko ialah supaya kerusi Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua memandangkan kawasan itu kini mempunyai empat kerusi DUN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Upko Bahagian Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.
Beliau berkata, bagi Penampang pula, Upko mencadangkan penambahan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN menerusi semakan persempadanan.
“Bagi Tuaran, saya berharap Upko Bahagian Tuaran dapat mengemukakan cadangan sama ada kawasan itu perlu dikekalkan seperti sedia ada atau disemak semula,” katanya.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, Kabinet Sabah sebelum ini telah membincangkan keperluan semakan persempadanan kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.
Katanya, semua parti diminta mengemukakan cadangan masing-masing kepada Ketua Menteri, dan beliau percaya parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut meneliti perkara itu di peringkat parti.
Menurut beliau, isu berkenaan turut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan khas berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri membentangkan kertas mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, kali terakhir Sabah menerima pertambahan kerusi Parlimen ialah menerusi semakan persempadanan pilihan raya pada 2002 hingga 2003 yang berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum 2004.
Sementara itu, Upko Bahagian Tuaran turut meluluskan usul menggesa Kerajaan Persekutuan mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum sebarang pindaan undang-undang Persekutuan yang melibatkan hak, kuasa dan kepentingan Sabah seperti termaktub dalam MA63.
Ketua Penerangan Upko Tuaran, Salbinous Saribun berkata, sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan atau dasar nasional yang menyentuh hak, autonomi, bidang kuasa dan kepentingan Sabah hendaklah melalui proses rundingan serta mendapat persetujuan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan semangat MA63.
Beliau turut mencadangkan penubuhan mekanisme rundingan tetap yang formal, tersusun dan mengikat di sisi undang-undang, selain sebuah suruhanjaya atau jawatankuasa bebas untuk mengkaji semua pindaan Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan sejak 1963 yang memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak, serta mengesyorkan pembetulan jika didapati bercanggah dengan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

Ewon ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Upko Bahagian Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.






