Dua beranak cedera kereta dihempap pokok

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Dua beranak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki tiba-tiba dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Lama Tuaran, Likas, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, wanita berusia 44 tahun cedera dilutut manakala anak lelaki berusia lima tahun cedera di dahi.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.06 pagi.
“Pasukan yang tiba di lokasi memaklumkan terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap dua kereta.
“Kejadian turut membabitkan seorang wanita dan anak lelakinya cedera ringan dan terus diberikan rawatan awal oleh anggota APM,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
Katanya, pasukan APM lengkap PPE segara melakukan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang menggunakan alat pemotong ‘chainsaw’ selain anggota lain membantu mengawal lalu lintas.
“Operasi mengalihkan pokok tumbang berjaya dilakukan dan ditamatkan pada jam 7.49 pagi,” katanya.

POTONG POKOK …. Pasukan APM membantu memotong pokok yang menghempap kenderaan mangsa.
BERI RAWATAN …. Mangsa dilaporkan cedera dilutut dan diberikan rawatan oleh pasukan APM