Masiung gesa pegawai eksekutif Kumpulan Sedco perkasa budaya khidmat rakyat

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pegawai eksekutif Kumpulan Sedco di semua peringkat diingatkan agar menghayati peranan sebagai pelayan masyarakat dan menolak sama sekali mentaliti “Little Napoleon” dalam urusan pentadbiran agensi berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah, menegaskan bahawa rakyat perlu diletakkan sebagai ‘majikan sebenar’ dalam etika perkhidmatan, sejajar dengan aspirasi tadbir urus berintegriti dan berfokuskan hasil.
“Kita harus memerangi mentaliti ‘Little Napoleon’ dan menggantikannya dengan pendekatan Management by Walking Around, iaitu kepimpinan yang turun padang, mendengar dan memahami realiti di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Sedco Mining Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Kumpulan Sedco, di Wisma Perkasa, di sini, pagi kelmarin.
Masiung diiringi Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk Ar. James Wong, dan menerima taklimat operasi daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sedco Mining Sdn Bhd, Shamsul Bahri Johari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu yang mula menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi baharu Kumpulan Sedco pada Isnin lalu turut memaklumkan bahawa beliau dijadualkan melawat beberapa vendor dan anak syarikat Sedco bermula bulan ini.
Menurutnya, perubahan minda dan budaya kerja tidak seharusnya terhad kepada peringkat pengurusan tertinggi, sebaliknya perlu diterjemahkan secara menyeluruh hingga ke peringkat kakitangan bawahan.
Budaya “Little Napoleon”, jelas beliau, merujuk kepada penyalahgunaan kuasa oleh pegawai atasan hingga ke peringkat tertentu yang akhirnya menyebabkan kelewatan pelaksanaan agenda dan menjejaskan kecekapan perkhidmatan.
“Saya sendiri akan memantau tahap integriti pegawai dan kakitangan agensi milik penuh kerajaan negeri ini. Jangan cuba mengambil kesempatan atas kuasa yang diamanahkan.
“Setiap warga kerja, termasuk penggerak utama anak-anak syarikat Kumpulan Sedco, mesti memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” tegasnya.
Masiung turut menekankan bahawa Sedco Mining Sdn Bhd merupakan antara fokus utama kerajaan negeri sebagai pemacu ekonomi Sabah.
Katanya, beberapa anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang dikenal pasti bergerak perlahan akan terus dipantau secara strategik bagi mengenal pasti punca kelemahan operasi dan melaksanakan penambahbaikan segera.

Masiung merakamkan kenangan bersama Datuk Ar. James Wong dan Shamsul Bahri Johari serta pegawai dan kakitangan Sedco Mining Sdn Bhd.