Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kerajaan negeri kekal komited dalam memperkukuh kestabilan politik yang dinikmati di Sabah ketika ini.
“Kestabilan politik adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri merangka hala tuju lebih strategik dan menyeluruh melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memacu negeri ke tahap kemajuan lebih tinggi.
Katanya, SMJ 2.0 bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya komitmen jitu untuk mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan serta memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Sehubungan itu, Hajiji mengajak seluruh rakyat Sabah menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin memperbaharui tekad, mempererat perpaduan serta melipatgandakan usaha membina negeri yang lebih maju dan sejahtera di bawah agenda Sabah Maju Jaya.
Katanya, Aidilfitri adalah simbol kemenangan melawan hawa nafsu serta mendidik jiwa dengan kesabaran dan keikhlasan selain menjadi platform terbaik memperkukuh silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat.
“Di bumi Sabah, Aidilfitri diraikan dalam suasana muhibah oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang diwarisi perlu terus dipelihara sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.

HAJIJI HAJI NOOR





