Dua lelaki ditahan, 40 botol air ketum dirampas di Kota Marudu

KOTA MARUDU: Kegiatan memproses dan mengedar air ketum di daerah ini berjaya dibongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di dua lokasi berasingan, Rabu lalu.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bermula kira-kira jam 10 pagi hasil risikan dan maklumat awam berhubung aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun selepas polis menemukan sebotol minuman berwarna hijau disyaki air ketum dengan anggaran isipadu kira-kira 200 mililiter.
“Hasil soal siasat awal terhadap suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinonkudan Bodoi kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Dalam serbuan kedua itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang rumah suspek menemukan 40 botol air mineral dipercayai mengandungi cecair ketum selain beberapa peralatan memasak dan tong penyimpanan yang disyaki digunakan untuk memproses bahan berkenaan.
Katanya, semua barang kes termasuk air ketum dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu dirampas untuk tujuan siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kota Marudu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Simiun berkata, polis memandang serius kegiatan pengedaran air ketum yang dilihat semakin berleluasa dan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti berkenaan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan itu demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.

RAMPASAN …. Antara botol dipercayai mengandungi air ketum serta peralatan memasak dan tong penyimpanan yang dirampas dalam operasi di Kota Marudu.