LAPANGAN TERBANG TAWAU ADAKAN LATIHAN SIMULASI RUSUHAN BERSKALA PENUH

TAWAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad (MAB) mengadakan latihan simulasi pengendalian rusuhan berskala penuh, EX-RUSUH, di Lapangan Terbang Tawau pada 26 November lalu.
Latihan yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga tengah hari itu membabitkan seramai 140 anggota dan kakitangan pelbagai agensi, termasuk 86 pegawai serta anggota polis dan 45 kakitangan MAB.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta menguji keupayaan tindak balas dalam menangani situasi rusuhan dan ancaman keselamatan awam, khususnya di fasiliti infrastruktur kritikal.
Menurutnya, senario simulasi membabitkan pertikaian antara pemandu teksi tanpa lesen dengan pemandu teksi yang diberi kebenaran beroperasi di lapangan terbang berhubung perebutan penumpang sehingga mencetuskan pergaduhan dan rusuhan.
Katanya, antara unit yang terbabit dalam latihan itu ialah Pasukan Light Strike Force (LSF) IPD Tawau, Pasukan Unit Rusuhan Ketenteraman Awam (PORU), Batalion Ke-14 Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Polis Bantuan MAB.
Beliau berkata, latihan berkenaan penting bagi memastikan semua agensi sentiasa bersedia bertindak dengan pantas, berkesan dan secara bersepadu sekiranya berlaku insiden keselamatan sebenar.
Latihan itu berakhir pada tengah hari tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Latihan simulasi pengendalian rusuhan EX-RUSUH yang diadakan di Lapangan Terbang Tawau pada 26 November lalu.