Sesi Corporate Unplugged perkasa kefahaman media dan pengurusan isu UMSKAL

LABUAN: Peranan media dalam menyebarkan maklumat, mendidik masyarakat serta membentuk persepsi awam menjadi antara fokus utama Sesi Ceramah Corporate Unplugged: “Sembang Media dan Pengurusan Isu” yang disampaikan Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Hafizi Rosli, di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.
Mohamad Hafizi yang berpengalaman luas dalam bidang komunikasi korporat, khususnya pengurusan media dan isu, dilantik sebagai Ketua Komunikasi Korporat KPT sejak 2023.
Antara tanggungjawab beliau termasuk merangka strategi komunikasi dan publisiti, mengurus perhubungan media, krisis serta isu awam, selain pengurusan aduan dan pelanggan.
Menurut beliau, media bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai maklumat, malah menjadi saluran suara rakyat, medium pendidikan, pembentuk persepsi dan pemacu kefahaman awam.
“Media penting kepada KPT dalam pembinaan imej dan reputasi, sebagai saluran komunikasi dan promosi, mengkomersialkan inovasi dan penyelidikan, berkongsi ilmu serta kepakaran dan menjadi pakar rujuk bagi isu semasa,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kepakaran akademia dalam membantu media mencerahkan minda masyarakat, memerangi berita palsu, menyumbang kepada pembentukan dasar negara serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui perkongsian ilmu dan pandangan berkaitan isu semasa.
Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin, berharap warga akademia khususnya dari Fakulti Kewangan dan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dapat berkongsi ilmu dan kepakaran dengan pihak media.
Menurut beliau, perkongsian tersebut penting bagi memastikan kepakaran akademia dalam pelbagai bidang dapat dimanfaatkan masyarakat, khususnya dalam memahami isu-isu semasa.
Majlis yang berlangsung di Bilik Eureka itu turut dihadiri Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail.
Majlis didahului dengan bacaan doa yang dipimpin Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UMSKAL, Mohd. Khairul Isham Abd. Latiff.
Sesi berkenaan turut disifatkan sebagai perkongsian yang menarik dan informatif serta memberikan manfaat kepada pensyarah dan kakitangan UMSKAL, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar.
Mohamad Hafizi turut berkesempatan menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan Balai Cerapan Melihat Anak Bulan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Profesor Dr. Shamsul Bahari (lima kanan) dan Mohamad Hafizi (lima kiri) bersama kakitangan UMSKAL yang menjayakan Sesi Ceramah Corporate Unplugged: “Sembang Media dan Pengurusan Isu” di UMSKAL.