Tawau wajar tambah dua Parlimen susulan lonjakan pengundi – Nizam

Oleh JOHN TAMBANAN


TAWAU: Tawau wajar dipertimbangkan untuk penambahan dua kawasan Parlimen baharu susulan peningkatan ketara jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkembangan itu menuntut penilaian semula terhadap struktur pembahagian kawasan sedia ada bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus terpelihara.
Menurutnya, pertambahan jumlah pengundi bukan sahaja meningkatkan beban tugas wakil rakyat dari segi liputan kawasan, malah memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah langkah yang wajar dipertimbangkan agar setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya merangkumi sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat.
Katanya, sebarang penstrukturan semula perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat supaya selari dengan aspirasi kesejahteraan rakyat.
“Proses ini juga perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kelulusan di peringkat Persekutuan,” jelasnya.
Terdahulu, lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dalam suasana penuh muhibah dan keharmonian.

MESRA … Nizam melayani sebahagian tetamu yang hadir dengan penuh kemesraan.