Polis Sabah tumpaskan dua sindiket dadah bernilai lebih RM3.25 juta

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah membabitkan nilai lebih RM3.25 juta dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan di empat daerah berasingan.
Kejayaan hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam itu turut berjaya merampas lebih 63 kilogram (kg) syabu, 31 kg cecair THC, 4.49 gram ganja dan sekilogram serbuk ekstasi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pertama melibatkan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun pada 3 Mei lalu di Taman Heng Long, Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 15 kotak mengandungi pelbagai jenis vape dan cecair disyaki mengandungi dadah jenis THC.
“Rampasan melibatkan 10,000 kartrij pelbagai jenis vape dianggarkan seberat 20kg bersama dua botol gelen berwarna biru mengandungi cecair disyaki THC seberat 11kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 31kg dengan nilai sekitar RM93,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, kelmarin.
Jauteh berkata, hasil siasatan lanjut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah melakukan beberapa siri serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau.
Katanya, tiga lagi individu terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 38 hingga 52 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semua suspek dipercayai terlibat dalam urusan transaksi dan penghantaran kotak-kotak mengandungi vape serta cecair THC tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu Jauteh berkata, kes kedua pula melibatkan sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi menerusi beberapa siri serbuan serta tangkapan enam individu di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu.
Katanya, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan apabila dua lelaki ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.
“Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram sebelum soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 bungkusan lagi dadah disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang.
“Serbuan ketiga dilaksanakan di sebuah bilik sewa di Asas Home New World, Penampang dan berjaya menemukan 10 kilogram lagi syabu serta dua paket serbuk ekstasi.
“Polis kemudian menahan beberapa lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua sindiket yang masih diburu pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu kepada ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin.
“Rampasan dalam kes ini melibatkan 63.18 kilogram keseluruhan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.16 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
“JSJN akan terus komited memerangi ancaman dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Orang ramai juga disaran untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

RAMPASAN DADAH …. Jauteh menunjukkan cecair THC yang berjaya dirampas.