Dua lemas dihanyutkan arus deras

PAPAR: Dua lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian di sungai berhampiran sebuah penginapan di Mandalipau, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 18 tahun dan adik ipar perempuan berusia 15 tahun berjaya ditemui orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa bersama tiga ahli keluarga lain mandi di sungai.
Bagaimanapun katanya, arus tiba-tiba bertukar deras dan terus menghanyutkan semua individu yang berada di sungai berkenaan.
“Akibat kejadian berkenaan, tiga berjaya diselamatkan, manakala dua lagi hilang dan dipercayai lemas.
“Mangsa lelaki terbabit dikatakan sempat menyelamatkan isterinya sebelum tenggelam dipercayai akibat keletihan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya, mangsa lelaki kemudiannya berjaya dikeluarkan dari dalam air oleh penduduk kampung yang menyelam untuk mencarinya.
“Seorang lagi mangsa perempuan yang turut tenggelam kemudiannya berjaya ditemui dan dibawa naik oleh orang kampung.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut,” katanya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa berjaya ditemui orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.-FB

LEMAS … Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.