Mayat lelaki ditemui.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui tergantung di sebuah pokok di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 8 pagi sebelum menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Balai Polis Pulau Gaya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dipercayai membunuh diri.

“Lelaki itu tidak mempunyai pengenalan diri di badannya selain mangsa juga dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, polis percaya kes ini tidak mempunyai sebarang unsur jenayah berdasarkan keadaan badan mangsa.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth ( HQE) untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Balai Polis Pulau Gaya Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zulfikar Abd Salam di talian 0198009455 untuk membantu siasatan.

6 April 2020

Mayat lelaki ditemui.

By: Fardy Bungga

End