Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Bukan hanya ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang peniaga turut didapati memiliki syabu dalam pemeriksaan yang dijalankan terhadapnya, di Jalan Kuala Neutron, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, lelaki berusia 44 tahu itu ditahan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota MPV yang sedang menjalankan rondaan menahan suspek yang menunggang motosikal untuk pemeriksaan.
“Ketika diperiksa, suspek menyerahkan satu bungkusan plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan berat kasar 0.10.
“Susulan itu tangkapan dilakukan atas kesalahan dadah dan ingkar arahan PKP kerana berada di luar tanpa alasan munasabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11 Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.
tamat





