
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Beaufort: Gara-gara hasrat meluah masalah cinta, sepasang remaja lelaki dan perempuan terpaksa menanggung akibat apabila ditahan polis dalam operasi pemantauan Op Covid-19 di Beaufort Jaya, di sini, malam tadi.
Kedua-dua remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort yang menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada jam 7.20 malam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, ketika rondaan tugas PKP itu, polis menemui pasangan remaja lelaki dan perempuan yang sedang bersembang di lorong tepi sebuah bank.
Katanya, ketika disoal siasat remaja lelaki itu mengaku sedang meluah perasaan mengenai masalah cinta antara dia dengan teman wanitanya kepada remaja perempuan yang didakwa sebagai rakan kekasihnya.
“Bagaimanapun, alasan mereka tidak munasabah dan kedua-duanya ditahan kerana berada di kawasan awam ketika penguatkuasaan PKP dijalankan.
“Kedua-dua remaja mengaku mengetahui mengenai PKP dan faham akan implikasi serta kesan sekiranya ingkar dengan PKP. Namun masih nekad bertemu untuk menyelesaikan masalah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Azmir berkata, kedua-dua remaja itu ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
tamat







