
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Beaufort: Mengaku faham akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, namun tetap ingkar dengan keluar rumah lebih dari seorang untuk membeli barang keperluan.
Itu pengakuan lima individu dari dua keluarga yang ditahan polis selepas didapati melanggar arahan PKP dalam pemeriksaan di Jalan Padas Utama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kes pertama membabitkan tiga sekeluarga yang ditahan jam 12.40 tengah hari.
Katanya, tiga sekeluarga berusia 25 hingga 52 tahun yang mengaku keluar bersama untuk membeli barangan dapur di Pasaraya Bestamart Beaufort.
“Ketiga-tiga mereka mengaku faham implikasi melanggar PKP dan mereka kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
“Dalam kes berasingan yang dilaporkan berlaku 12 tengah hari sebelum itu, seorang lelaki, 38, ditahan bersama anak perempuannya berusia 15 tahun.

“Lelaki berkenaan mengaku faham akan implikasi melanggar PKP namun tetap keluar lebih dari seorang untuk mendapatkan barang keperluan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Azmir berkata, kedua-dua keluarga itu ditahan dan akan disiasat mengikut Peraturan 4(1)(a)(ii) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit)(No.3) 2020.
Katanya, orang ramai perlu sedar implikasi dan kesan sekiranya melanggar arahan ini kerana ia membabitkan kepentingan awam.
“Arahan ini dikuatkuasakan dalam usaha kita untuk memerangi penularan wabak Covid-19,” tegasnya.
Tamat








