Penunggang Motosikal Maut.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tawau: Seorang penunggang maut manakala seorang lagi patah hidung selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kejadian di Jalan Merotai-Bombalai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa pertama yang maut A.Yogaruban, dikatakan cuba memasuki simpang di sebelah kanan jalan berkenaan.

Bagaimanapun, penunggang motosikal kedua yang berada di belakang mangsa pertama cuba memotongnya dari sebelah kanan.

Akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa berlanggar dan mangsa yang maut terseret sejauh 17 meter.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati jarak antara kedua-dua motosikal dipercayai sangat hampir.

Katanya, disebabkan itu, tayar belakang motosikal mangsa pertama dilanggar oleh mangsa kedua, sehingga menyebabkannya terbabas.

 

“Akibat kemalangan itu, mangsa pertama maut di tempat kejadian manakala mangsa kedua patah tulang hidung dan masih dirawat di Hospital Tawau.

“Siasatan turut mendapati kemalangan berpunca daripada mangsa kedua yang tidak memberi laluan kepada mangsa pertama untuk masuk ke simpang serta mengekorinya terlalu rapat,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, kedua-dua penunggang motosikal tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil untuk ujian alkohol.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah  Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020.

Tamat