
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan bermula 4 Mei depan.
Pelaksanaan itu terpaksa diambil berikutan negara menghadapi tekanan ekonomi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan, 18 Mac lalu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua sektor kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan beroperasi tetapi dengan bersyarat bermula Isnin ini.
Katanya, tindakan ini perlu kerana aktiviti ekonomi atau sumber pendapatan seperti perniagaan dan pekerjaan akan terus terjejas sekiranya diteruskan.
“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.
“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.
Muhyiddin berkata, selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.
“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan ‘indoor’ dan stadium. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.
“Aktiviti berjogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang membabitkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.
Katanya, begitu juga dengan aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.
tamat






