
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua lelaki tempatan yang cuba menyeludup bahan bakar bersubsidi ke negara Filipina, semalam.
Dalam tangkapan jam 1.30 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 42 tahun terbabit ditemui bersama beberapa gelen minyak petrol ketika berada perairan daerah ini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM) Semporna yang mengesan kegiatan kedua-dua suspek.
Katanya, hasil penahanan kedua-dua suspek membawa kepada serbuan terhadap sebuah pondok tidak bernombor di Pulau Kulapuan, di sini.
“Hasil pemeriksaan terhadap pondok berkenaan menemui keseluruhan 705 liter minyak petrol, tiga tong LPG yang dipercayai cuba diseludup ke luar negara.
“Turut dirampas dua bot laju serta tiga enjin sangkut berkuasa 85HP, 40HP, 15HP yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM29,968 berdasarkan harga pasaran semasa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek menjalankan kegiatan dengan membawa bekalan petrol dalam kuantiti kecil dari pekan Semporna untuk dikumpulkan di sebuah pondok.
Katanya, pondok berkenaan terletak di sebuah kawasan yang sukar dilalui ataupun dilihat orang ramai.
“Semua bahan bakar bersubsidi dan bot yang digunakan dalam kegiatan itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan peraturan kawalan bekalan.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM1 juta bagi dan tiga tahun penjara bagi perseorangan.
Tamat





