SUMBANGAN POS MARITIM FELDA SAHABAT KEPADA WARGA KAMPUNG SINAKUT

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TUNGKU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pos Maritim FELDA Sahabat, menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk di Kampung Sinakut, Tungku pagi tadi.

Sumbangan disampaikan Ketua Pos Maritim Felda Sahabat, Leftenen Madya Maritim R Neelamegand mewakili Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Majlis penyampaian turut dihadiri pegawai dan anggota Maritim Malaysia selain penduduk kampung dan Imam Rawatib Kampung Sinakut, Ustaz Mumin Ab Lala.

Komander Maritim Lahad Datu, Abdul Muhaimin dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, berkata, program berkenaan dilaksanakan kerana memahami kesukaran penduduk di kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan.

Katanya, ini berikutan kedudukan kampung di kawasan pedalaman selain kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan pesisir pantai serta bergantung kepada pendapatan harian.

“Disebabkan faktor kedudukan kampung yang jauh dipedalaman, ia menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan makanan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.


”Sumbangan yang diberikan ini diharap dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang erat antara Maritim Malaysia dan komuniti di Daerah Kecil Tungku,”katanya.

Abdul Muhaimin berkata, sumbangan makanan yang disampaikan adalah seperti beras, minyak masak, tepung dan keperluan makanan lain diagihkan kepada 20 keluarga di kampung berkenaan.

“Maritim Malaysia, tidak lupa akan nasib mereka yang sukar mendapatkan bekalan makanan terutamanya dalam tempoh PKP ini.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan golongan berpendapatan rendah pada bulan ramadan ini,” katanya.

Tamat