Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan memerlukan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terus dipatuhi.
Beliau berkata, tiga perayaan besar juga akan terjejas dengan lanjutan PKPB iaitu Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, ketiga-tiga perayaan itu tidak boleh diraikan besar-besaran demi memastikan langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 dapat terus dilaksanakan.
“Bagaimanapun, orang ramai dibenarkan menziarahi jiran tetangga atau saudara-mara di kawasan negeri masing-masing dengan had 20 orang dalam satu-satu masa.
“Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini,” katanya dalam perutusan khas dari Putrajaya yang disiarkan secara langsung petang tadi.
Muhyiddin berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan rumah sentiasa bersih dan segala kelengkapan pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain haris dibersihkan selepas digunakan untuk menjamu tetamu.
“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup.
“Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,”katanya.
Tamat







