
Saya membaca dengan penuh minat kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden STAR dan Timbalan Menteri Pelancongan Persekutuan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengenai hasrat mereka untuk mengadakan forum awam untuk mendapatkan pandangan mengenai bagaimana menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah dan pada masa sama menuduh kerajaan negeri Sabah seolah-olah melindungi pendatang tanpa izin yang tinggal di Sabah.
Pelbagai tuduhan palsu yang serius telah dibuat oleh Dr Jeffrey terhadap kerajaan negeri Sabah tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Salah satu tuduhan beliau adalah terhadap cadangan kerajaan persekutuan pimpinan PH sebelum ini untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) dan mengatakan ini adalah usaha kerajaan negeri untuk memihak dan melindungi pendatang tanpa izin untuk tinggal di Sabah.
Kita semua sudah maklum bahawa cadangan kerajaan persekutuan ketika itu terhadap PSS telah dibatalkan setelah mempertimbangkan sentimen masyarakat mengenai perkara tersebut.
Inilah ciri-ciri pemerintahan yang adil, jujur dan bertanggungjawab. Sebagai kerajaan perlulah berani untuk mencadangkan suatu penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan jika tidak mendapat sokongan terhadap cadangan tersebut maka pihak kerajaan perlulah bersedia untuk menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan bertanggungjawab dan perlu bersedia untuk meneruskan tanggungjawab yang seterusnya.
Menjadi kerajaan bukannya untuk mengejar populariti tetapi adalah suatu tanggungjawab antara lain membuat keputusan yang sukar seperti mengemukakan sesuatu cadangan yang mungkin tidak popular tetapi yang dipercayai oleh pihak kerajaan sebagai salah satu jalan penyelesaian.
Sekurang-kurangnya buktikan kepada rakyat bahawa mereka layak menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan setelah memainkan peranan besar dalam mewujudkan kekacauan dan ketidakstabilan politik negara dalam menjatuhkan kerajaan PH yang telah dipilih secara majoriti.
Setelah bertahun-tahun bersikap kritikal dan lantang menyuarakan mengenai isu-isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 dan masalah pendatang di Sabah, mereka kini berada dalam kedudukan yang terbaik untuk melakukan perubahan.
Tetapi yang terbaik yang mereka dapat tawarkan adalah mengadakan forum awam untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada orang ramai daripada memberikan cadangan penyelesaian konkrit kepada masalah-masalah ini.
Kita menyangkakan setelah berada dalam kerajaan pusat sekurang-kurangnya mereka akan mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian. Saya akan faham jika satu forum awam diadakan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan yang dikemukakan agar kita dapat mengadakan satu perbincangan dan perbahasan yang sihat dan berkesan mengenai cadangan tersebut.
Tetapi niat mereka jelas hanyalah untuk mengalihkan tumpuan bahawa mereka sekarang mempunyai tanggunhjawab dan perlu mencari penyelesaian yang mutlak.
Dengan cara melontarkan tuduhan-tuduhan palsu terhadap kerajaan negeri sekarang dan mengumumkan akan menganjurkan satu forum awam tanpa sebarang cadangan, menunjukkan mereka hanya berminat untuk bermain kepada sentimen rakyat.
Kenyataan Daripada Nelson W Angang – Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).








