Armada Buat Laporan Polis Berhubung Kegagalan Datuk Peter Anthony Dan Penyokongnya Terhadap Pematuhan SOP PKP.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Negeri Sabah membuat laporan polis, hari ini, berikutan kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Menteri Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Peter Anthony dan penyokongnya, semalam.

Ketua Armada negeri, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, hasil pemantauan menerusi gambar dan rakaman video yang tular memperlihatkan Datuk Peter bersalaman dan berpelukan dengan ramai individu.

Katanya, ia jelas menunjukkan mereka tidak mengamalkan penjarakan sosial dan melanggar arahan PKPB yang masih berkuatkuasa.

“Dalam gambar dan video, jelas kelihatan mereka tidak mengamalkan ‘social distancing’ (penjarakan sosial) yang sepatutnya.

“Ini adalah bercanggah, bertentangan dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan berikutan Pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Isquzawan berkata, Datuk Peter disambut dengan meriah oleh lebih 100 orang dan beliau juga bersalaman termasuk dengan beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan serta pemimpin parti Warisan dan KDM yang lain.

“Justeru itu, Armada Bersatu Sabah membuat laporan polis ini supaya pihak polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang didapati melanggar PKP dalam perhimpunan itu.

“Kita sedia maklum, perbuatan sedemikian adalah tidak dibenarkan semasa PKP. Sedangkan di Semenanjung Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan seorang Exco Kerajaan Perak juga dikenakan tindakan termasuk denda kerana tidak patuh kepada PKP.

“Armada Bersatu Sabah berharap, pihak Polis Diraja Malaysia (PRDM) dapat mengenalpasti dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu yang menyambut dan mengiringi Datuk Peter ke pejabat SPRM, berdasarkan undang-undang yang ada,” katanya.

Mohd Isquzawan berkata, sekiranya tiada tindakan diambil termasuk saman terhadap mereka yang melanggar PKP ini, kita bimbang orang awam khususnya rakyat akan beranggapan bahawa pihak polis dan pasukan keselamatan lain sebagai “tidak adil” dan “pilih bulu”.

Katanya, Armada Bersatu Sabah juga bimbang, orang awam akan menjadikan itu sebagai “kes contoh” dan kelemahan pihak berkuasa keselamatan dalam melaksanakan tugas sehingga mendorong mereka turut bertindak melanggar SOP PKP penjarakan sosial.

Tamat