
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Papar: Dua penagih dadah berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sekitar kawasan Kinarut di sini, semalam.
Dalam operasi jam petang itu, kedua-dua lelaki berusia 30-an terbabit dikesan positif dadah selain seorang daripada mereka didapati memiliki 0.05 gram dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik(BSJN) IPD Papar.
Katanya, operasi itu menumpukan kawasan yang dikenalpasti antara lokasi panas membabitkan aktiviti penagihan dadah.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, kerana positif dadah jenis Methapetamine dan Amphetamine.
“Manakala seorang daripada suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.05gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.
Disamping itu katanya, operasi turut dijalankan bagi membuat pemantauan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar kawasan daerah Papar.
Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini supaya memaklumkan kepada pihak PDRM, untuk tindakan segera.
Tamat






