Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan menempatkan dua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah di daerah ini sebagai langkah awal bagi membantu mencegah penularan wabak Covid-19, di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ia membabitkan tindakan sebanyak 19 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini.
Katanya, perkara berkenaan sudah mendapat persetujuan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Tingkatan Lima dan Enam yang bermula hari ini.
“Pihak polis akan terus berkerjasama secara berterusan dengan pihak sekolah dan masyarakat.
“Setiap pegawai PPS yang hadir ke sekolah setiap hari bagi memastikan pelajar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM dalam usaha membendung penularan COVID-19 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke SMK Sanzac di sini, hari ini.
Habibi berkata, polis akan turut menempatkan kereta peronda polis di kawasan luar sekolah bagi memastikan pelajar akan terus mematuhi SOP termasuk tidak berkumpul beramai-ramai selepas tamat waktu persekolahan.
Sementara itu, Habibi berkata, sekiranya ada yang didapati ingkar mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, polis akan memberikan amaran serta nasihat sebelum tindakan selanjutnya sekiranya perlu.
“Kita akan memastikan setiap pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah itu sendiri,” katanya.
Tamat




