ADUN Kuamut Tampil Buat Laporan Polis

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota, Kinabalu, hari ini, berhubung dakwaan rumahnya didatangi sekumpulan individu tidak dikenali.

Masiung yang ditemui selepas membuat laporan polis itu mendakwa, tindakannya membuat laporan adalah atas tujuan keselamatan selepas berlakunya unsur ugutan dalam kejadian berkenaan.

Katanya, dalam kejadian jam 2 petang Isnin lalu itu, kediamannya di kawasan Kepayan, di sini, didatangi sekumpulan individu yang menaiki beberapa kenderaan untuk mencarinya di rumah.

“Ketika insiden itu berlaku, saya tidak berada di rumah kerana sedang membeli kelengkapan barang untuk dibawa balik ke kawasan saya di Kuamut.

“Tidak kenal, saya tidak pasti siapa sebenarnya datang. Tapi yang pastinya dia bukan kenalan saya, bukan kawan kita, saya tidak pasti dia polis atau orang awam,”katanya ketika ditemui, hari ini.

Masiung berkata, ketika insiden itu, salah seorang daripada individu berkenaan sempat turun dan bertanya di mana beliau berada dalam keadaan mencurigakan.

“Apa yang membimbangkannya individu terbabit ada mengeluarkan perkataan kurang menyenangkan dan seolah-olah mengugut selepas menyedari ketiadaan saya di rumah ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat Masiung dan siasatan akan dilakukan berhubung kejadian terbabit.

tamat