Brendon Keith Soh Peguam Besar Negeri Sabah Baharu.


KOTA KINABALU: Bekas Presiden Pertubuhan Undang-Undang Sabah Brenndon Keith Soh dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu.

Lantikan itu berkuatkuasa 11 Julai 2020 sehingga 10 Julai 2022 itu bagi menggantikan Datuk Zaleha Rose Pandin yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyerahkan watikah pelantikan itu berkata, lantikan Brenndon, 43, mendapat perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya, Brenndon yang juga anak tempatan Sabah dan tokoh dalam bidang undang-undang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan.

“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau mampu membantu memantapkan dan memperkukuhkan lagi kedaulatan undang-undang di peringkat Sabah.

“Saya yakin pelantikan beliau juga dapat membantu memperbaharui beberapa undang-undang negeri yang sudah lama dan perlu ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, Brenndon berkata sebagai Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu, beliau berjanji untuk menegakkan kedaulatan undang-undang yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri, selain akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pejabat peguam besar Sabah akan terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan dan rakyat untuk memastikan semua undang-undang yang ada bukan sahaja sesuai, tetapi praktikal,” katanya.

Tamat