PPM LAHAD DATU RAMPAS 800 BUNGKUS ROKOK TANPA CUKAI


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua lelaki warga asing dan merampas 800 bungkus rokok tanpa cukai di sebuah rumah di Kampung Yayasan Sabah, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua lelaki berusia 17 dan 30 tahun itu ditahan bersama rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM11,616 berdasarkan harga pasaran semasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kegiatan itu dan kemudian sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan.

Katanya, sebaik tiba di rumah berkenaan, pasukan berjaya menemui beberapa bungkusan yang disembunyikan di rumah berkenaan.

“Sebaik diperiksa, polis menemui rokok dipercayai seludup pelbagai jenama antaranya Astro Black Menthol, Astro Menthol King, dan Astro Ice Blue Berry Fuze.

“Dua lelaki warga asing yang berada di lokasi itu turut diberkas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Gan berkata, kedua-dua suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Gan berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tamat