
Sandakan: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia sekali lagi mengambil inisiatif untuk menyampaikan bantuan kepada 60 pelajar miskin tegar di sekolah berkenaan, kelmarin.
Yang Dipertua PIBG, Dr Peter Jr Naintin berkata, sumbangan berkenaan adalah usaha bersama PIBG untuk membantu para pelajar yang memerlukan.
Katanya, ia diharap dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh kumpulan pelajar ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pihak PIBG berharap ibu bapa dan guru akan terus menyokong usaha kita ini agar para pelajar dapat meneruskan pembelajaran.
“Kita berharap pelajar yang dibantu ini dapat mencapai kecemerlangan terutama dalam bidang akademik dan juga ko kurikulum serta sahsiah, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Peter berkata, pihak PIBG juga mengambil kesempatan kepada semua pihak yang turut serta membantu menjayakan usaha murni itu.
“Ini merupakan satu usaha mulia yang patut diamalkan oleh semua pihak dalam membantu mereka memerlukan.
“Saya berharap sumbangan seperti ini dapat memberi kegembiraan kepada semua penerima,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis sumbangan dijalankan secara dua sesi untuk mengekalkan jarak sosial dan mengikut peraturan SOP di sekolah.
Majlis penyampaian pertama diadakan pada sesi pagi membabitkan seramai 38 pelajar, manakala 22 pelajar diberikan pada sesi petang.
Tamat





