
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi memutuskan 21 Ogos depan untuk keputusan menentukan sama ada semakan kehakiman yang dibuat 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman boleh dibicarakan atau tidak.
Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar penjelasan mengenai penghujahan dari peguam mewakili Musa dan 32 yang lain sebagai pemohon serta Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan tiga yang lain.
Beliau turut membenarkan peguam pemohon Tengku Fuad Tengku Ahmad untuk mengemukakan jawapan bertulis sebagai hujahan balas kepada penyampaian lisan oleh peguam responden.
Terdahulu, dalam perbicaraan hari ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Tan Sri Musa Aman dilihat turut tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sekitar jam 9:20 pagi tadi.
Antara ADUN yang hadir ialah Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Hamisa Samat ( Tanjung Batu ), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau), Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) Datuk Anita Baranting (Tandek) Matbali Musah (Sindumin) dan Datuk Masiuang Banah (Kuamut)
Selain itu, turut kelihatan Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Datuk Arifin Arif (Membakut), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ghulam Haidar Khan ( Kawang) dan Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Julita Mojungki ( Matunggong), Japlin Akim (Usukan), Robert Tawik (Bingkor), Ellron Angin (Sook), Bobbey Suan (Nabawan) dan Abdul Muis Picho (Sebatik).
Turut hadir, dua ADUN dilantik iaitu Jaffari Waliam dan Ronnie Loh.
Sebelum ini, Musa bersama 32 ADUN yang menyokongnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman menerusi firma guaman FT Ahmad dan Co pada 4 Ogos lalu.
Permohonan terbabit meletakkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.
Tamat






