
Sandakan: Jasa dan pengorbanan bekas anggota dan pegawai polis yang dicurahkan sebelum ini amat dihargai dan tidak akan pernah dilupakan.
Itu berikutan keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini adalah hasil jasa bakti anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang menjaga kedaulatan negara.
Malah sebagai menghargai pengorbanan mereka, UPKO Libaran sedia bekerjasama dan memberi bantuan sewajarnya kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sandakan.
Ketua Bahagian UPKO Libaran Dr Peter Jr Naintin berkata, sebagai rakyat yang hidup dalam keadaan aman dan damai ketika ini, perjuangan mereka tidak seharusnya dilupakan.
Oleh itu Katanya, mereka tidak seharusnya diketepikan dan salah satu cara yang boleh membela nasib mereka adalah dibantu semampu yang boleh.
“Sekitar tahun 60-an, bapa saya berpeluang untuk berkhidmat sebagai tentera berpangkat koperal dalam 2 Renjer. Selepas berkhidmat 5 tahun, amatlah sukar pada masa berkenaan disebabkan ketiadaan persatuan seperti yang ada pada hari ini.
“Saya sangat bersyukur kepada berpeluang untuk bersama-sama PBPM dan berperanan untuk membantu mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas upacara Penyerahan satu unit komputer riba yang disumbangkan kepada PBPM Cawangan Sandakan.
Dr Peter yang juga Ahli Majlis Tertinggi UPKO Malaysia berkata, pihaknya sedia membantu persatuan ini setakat yang termampu dan mengalakkan lebih ramai pihak tampil sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Sementara itu, Sumbangan berkenaan yang diterima oleh Ketua Cawangan, PBPM Sandakan, Sub. Inspektor (Bersara) Abdullah Abdul Hamid berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan berkenaan.
Katanya, PBPM Cawangan Sandakan mempunyai lebih 400 ahli termasuk dari Beluran, Kinabatangan dan Telupid.
“Terdapat 22 cawangan PBPM di seluruh Sabah, di mana empat cawangan sedang dalam pembentukan.
“Jumlah keahlian seluruh Sabah pula seramai lebih 5,000 orang,’ kata Abdullah.
Tamat




