
Kota Kinabalu: Dua penagih dadah nekad menyerang termasuk menikam seorang anggota polis untuk meloloskan diri dalam kejadian di Taman Puri Warisan, Inanam, di sini, semalam.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 1.35 petang itu, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 39 tahun terbabit berjaya ditahan anggota polis bertugas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai polis menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Katanya, polis kemudiannya terserempak dengan dua lelaki yang sedang menghisap dadah di bawah tangga di blok bangunan perumahan berkenaan.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek terus membuang dua paket syabu sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau dan terus menyerang anggota polis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, semasa pergelutan itu, suspek menikam anggota polis di bahagian lengan dan rusuk kiri.
Katanya, seorang lagi suspek turut bertindak merempuh dan menumbuk salah seorang anggota polis yang cuba menahan mereka.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan dan pisau berukuran 32 sentimeter yang digunakan turut dirampas.
“Turut dirampas sebilh gunting dan dua paket syabu seberat 0.20 gram yang bernilai RM20 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
“Anggota polis yang cedera sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan dan sudah dibenarkan keluar,” katanya.
Tamat





