LELAKI MENYAMAR ANGGOTA KKM DITAHAN.

TAWAU: Seorang lelaki yang aktif menjalankan kegiatan meminta derma dengan menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 11.38 malam itu, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan selepas pihak berkuasa menerima laporan polis daripada seorang mangsa yang tertipu dengan kegiatan suspek.

Difahamkan, mangsa terpedaya dengan memberikan RM50 kepada suspek yang kononnya untuk kutipan derma.

Ketua Polis Daerah Asisten Superitenden Peter Anak Umbuas berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Apas Permai, di sini.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa didatangi suspek yang perkenalkan diri sebagai anggota KKM dan melakukan kutipan derma sempena Hari Warga Emas KKM.

“Mangsa yang menyerahkan wang tunai sebanyak RM50 kepada suspek kemudiannya curiga sebelum menghubungi pihak KKM untuk mendapatkan kepastian.

“Bagaimanapun, KKM mengesahkan tidak pernah melantik agen atau individu untuk mengutip derma dan mengesahkan Program Hari Warga Emas KKM juga tidak wujud,” katanya.

Peter berkata, mangsa yang menyedari tertipu kemudiannya membuat laporan polis dan seterusnya membawa kepada penahanan suspek.

Katanya, polis turut merampas baju koporat KKM, sebuah buku berwarna biru mengandungi catitan senarai nama yang memberi sumbangan tahun 2020 dan beg galas celoreng hijau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 7 tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Tamat