
Penampang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Penampang tidak akan berkompromi atau membelakangkan undang-undang yang dikuatkuasakan dalam usaha memerangi pandemik penularan virus Covid-19.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah dikuatkuasakan hampir tiga minggu lalu namun masih terdapat individu yang kurang jelas dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa.
Katanya, sebagai contoh masih ada individu yang membuat pergerakan rentas daerah hanya semata-mata ingin membeli makanan.
“Walaupun hampir tiga minggu PKPB dilaksanakan di Daerah Penampang, masih terdapat individu yang tidak jelas dengan SOP PKPB semasa.
“Ada pengguna jalan diberi pilihan sama ada berpatah balik atau dikenakan kompaun selepas didapati membuat pergerakan rentas daerah atas tujuan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di beberapa pos statik sekitar Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, polis tidak akan berkompromi dengan perihal sebegini kerana hanya pergerakan ‘essential services’ dan mempunyai kebenaran polis saja yang dibenarkan untuk rentas daerah.
Katanya, beliau turut memuji sikap warga Penampang yang patuh SOP PKPB berdasarkan jumlah pematuhan yang tinggi sejak ianya dikuatkuasakan.
Sementara itu, dalam sesi lawatan berkenaan, Mohd Haris turut meluangkan masa melawat pusat kuarantin pesakit Covid-19 dan Pasaraya Survey di Penampang.
Antara intipati lawatan adalah untuk melihat sendiri pematuhan orang awam selain memastikan kebajikan setiap petugas di lapangan terjaga dan disiplin sentiasa dititikberatkan.
Turut hadir mengiringi beliau, Ketua Balai Polis Penampang, Asisten Superintendan Mohammadiah dan Ketua Bahagian Integriti dan Pemantuhan Standard (BIPS) / Insp Pelesenan IPD Penampang, Inspektor Arisanti Aziz.
Tamat





