
KOTA KINABALU: Keengganan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia menerima kembali rakyat mereka menjadi punca kesesakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, ini berikutan penutupan sempadan oleh negara jiran yang bimbang dengan penularan wabak Covid-19.
Katanya, pihaknya masih berunding dengan kedutaan Filipina dan Indonesia untuk meminta mereka menerima tahanan warganegara mereka yang disahkan bebas Covid-19.
”Hasil rundingan dengan kedutaan kedua-dua negara, kita berjaya menghantar balik seramai 3,000 tahanan. Seterusnya, Mei lalu, presiden Filipina Rodrigo Duterte bersetuju untuk menerima 5,300 warganegara mereka dengan syarat menjalani ujian swab dan disahkan negatif Covid-19.
”Bagaimanapun, apabila berlaku gelombang kedua, mereka menutup semula sempadan,” katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di PTS Kota Kinabalu di Manggatal, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Sharifah berkata, setakat ini, berdasarkan rekod jumlah tahanan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau adalah seramai 5,329 orang dengan 86% adalah daripada Filipina, 12% dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, China serta Pakistan.
Katanya, semua tahanan ini dipanggil sebagai banduan dagang iaitu yang tidak memiliki dokumen untuk ditahan sementara menunggu pengusiran dilaksanakan.
Sementara itu, Sharifah berkata, keadaan PTS di Sabah masih mencukupi namun pihaknya sudah membuat beberapa perancangan bagi memastikan PTS tidak sesak dengan tahanan.
“Kita sudah mendapat lapan dewan di seluruh negeri ini untuk dijadikan pusat kuarantin bagi tahanan PTS.
”Kita akan meneruskan rundingan dengan pihak kedutaan negara berkaitan untuk memulakan penghantaran tahanan ke negara masing-masing,” katanya.
Tamat




