Langkah Keselamatan Terbaik Pusat Tahanan Sementara.

KOTA KINABALU: Pelbagai langkah keselamatan terbaik sudah diambil bagi memastikan tiada tahanan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal akan dapat melarikan diri daripada pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ia termasuk menambah baik tembok serta kawalan keselamatan di pusat terbabit bagi mengelak berulangnya kejadian tahanan melarikan diri.

“Saya percaya 200 peratus tiada tahanan melarikan diri kerana tembok sudah kita baiki.

“Memang kita tahu sebelum ini ada kes melarikan diri tetapi itu sudah diperbaiki, begitu juga aspek keselamatan dan kawalan keanggotaan serta logistik itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan mengenai kebimbangan insiden tahanan melarikan diri yang dikhuatiri menyebabkan penularan wabak Covid-19, ketika membuat pemantauan di PTS Manggatal, di sini, hari ini.

Habibi berkata, bagi penugasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PTS itu, pihaknya menempatkan dua anggota setiap masa dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“InsyaAllah tahap kawalan melarikan diri itu ditahap terbaik, tidak akan berlaku,”

“Sebarang pergerakan keluar dan masuk dihadkan dan konsep penugasan adalah sama seperti PKPD di Penjara Kepayan tidak memerlukan kawat berduri kerana tempat ini sudah berpagar,” katanya.

Tamat