Dua Pengawal Keselamatan Cedera Dibelasah.

Kota Kinabalu: Dua pengawal cedera dibelasah sekumpulan lapan lelaki selepas menegur salah seorang daripada mereka yang cuba membawa keluar bakul plastik berisi ikan dari bangunan Sabah Fish Marketing (SAFMA), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua pengawal keselamatan yang juga mempunyai pertalian darah iaitu bapa dan anak berusia 22 dan 41 tahun cedera dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Difahamkan, pada awalnya kejadian itu dapat diselesaikan secara baik namun sekumpulan lapan lelaki itu dikatakan kembali ke lokasi dalam keadaan marah sebelum bertindak menyerang mangsa dan anaknya.

Kedua-dua kemudian cuba melarikan diri namun dikejar oleh suspek lalu bertindak memukul mangsa menggunakan objek seperti pisau, buku lima, rantai besi dan tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi hari ini berkata, akibat kejadian itu bapa mangsa pengsan manakala anaknya pula yang cedera.

“Susulan kejadian itu, beberapa suspek disyaki terbabit dalam kejadian itu ditahan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi individu disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Tamat