KOTA KINABALU: Cubaan penyeludup membawa masuk 1,440 tin minuman keras dari Labuan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dalam Ops Terancang, di tepi pantai kawasan Menumbok, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, tiga lelaki berusia antara 26 hingga 42 tahun turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, serbuan dilakukan selepas beberapa intipan dan siasatan dijalankan di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan berjaya menemui sebanyak 60 bungkus plastik hitam yany disembunyikan di dalam semak dalam kawalan tiga lelaki terbabit.
“Pemeriksaan mendapati terdapat minuman keras jenama Royal Stout dipercayai tidak bercukai dan diseludup dari Labuan.
“Pemeriksaan turut menemui sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Enturan berkata, tiga lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan minuman keras turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
“Semua minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM11,520 selepas cukai dan PPM turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo dipercayai digunakan sebagai pengangkutan penyeludupan serta sebuah motosikal jenama Modenas.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasjk kenderaan dan minuman keras adalah dianggarkan sebanyak RM105,000,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Tamat






