Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 diburu polis selepas menghilangkan diri ketika ditahan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit diambil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Intan untuk ditempatkan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, lelaki terbabit yang dibawa bersama lima lagi pesakit bertindak melarikan diri sebaik dibawa masuk ke hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati suspek yang dibawa naik ke tingkat 5 di wad Covid diarahkan supaya menunggu di ruangan lif selepas seorang lagi pesakit dihantar ke wad berhampiran.
Katanya, sebaik kembali ruangan lif berkenaan, pengiring kumpulan itu mendapati suspek sudah menghilangkan diri dan hanya tinggal empat pesakit.
“Pengiring kemudiannya bertanya kepada anggota Rela yang menjaga di tingkat berkenaan dan diberitahu bahawa suspek mengekori pengiring sebelum menghilangkan diri.
“Usaha mengesan lelaki terbabit terus dilakukan di sekitar hospital namun gagal menemui suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dimasukkan le pusat kuarantin pada 13 November lalu selepas disahkan positif Covid-19.
Katanya, setakat ini suspek masih gagal dikesan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tamat




2-copy-218x150.jpg)
