Kota Kinabalu: ‘Rasa’ pelik sekumpulan pemancing seperti diperhatikan ketika mencari umpan di tepi Sungai Petagas, Kampung Sri Tanjung, berhampiran Mas Kargo, di sini, membawa kepada penemuan satu mayat lelaki.
Kumpulan pemancing terbabit terkejut selepas melihat mayat lelaki tergantung di sebuah pokok sebelum terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera kira-kira jam 1.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan anggota dan pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki tanpa identiti itu dipercayai membunuh diri sebelum ditemui tergantung di dahan sebuah pokok di tepi sungai berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, kejadian dipercayai baru berlaku dan lelaki terbabit mengantung diri menggunakan tali yang diikat pada pokok.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar insiden itu berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Tamat








