Penduduk Kampung Numbak Patuhi SOP PKPD

Kota Kinabalu: Pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Kampung Numbak, di sini, yang diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) didapati berjalan lancar dan dipatuhi penduduk.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, sekatan di kawasan perkampungan ini bukan hanya dijalankan di laluan darat tetapi juga di laluan perairan.

Katanya, itu berikutan kedudukan kawasan kampung yang berhampiran dengan laut dan pemantauan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) selama 24 jam sepanjang tempoh PKPD yang dikuatkuasakan sejak 16 hingga 29 Nov ini.

“Setakat ini hasil pemantauan berjalan lancar dan laporan daripada PPM juga menunjukkan penduduk di Kampung Numbak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

“Semua penduduk menerima dan mematuhi arahan kawasan ini berada dalam penguatkuasaan PKPD dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan melalui laluan laut ke Kampung Numbak, disini, hari ini.

Turut hadir dalam tinjauan berkenaan, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Mazlee berkata, sepanjang tempoh PKPD itu, pihaknya mendapati tiada sebarang pergerakan bot atau perahu di kawasan laut berhampiran kampung.

Katanya, pemantauan PKPD ini juga dibuat menerusi sekatan laluan darat melalui jalan utama untuk masuk dan keluar dari kampung.

“Bagaimanapun, penduduk di kampung ini masih diberikan kelonggaran untuk keluar dari kampung atas urusan yang dibenarkan, tertakluk kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tamat