Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas didapati menjadi ejen penghantaran dadah rentas daerah dalam serbuan di Sulaman Sentral, Manggatal, di sini, semalam.
Suspek yang ditahan pada jam 4.35 petang itu, dikenalpasti terbabit mengambil upah sebagai penghantar dadah ke daerah Kota Belud dan Kota Marudu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisiner Habibi Majinji berkata, maklumat risikan bahagian siasatan jenayah mengenalpasti pembabitan suspek dalam kes berkenaan.
Katanya, ketika ditahan, suspek dilihat berjalan seorang diri menuju ke kenderaan Perodua Bezza dalam keadaan tergesa-gesa.
“Pasukan polis kemudiannya terus menyerbu untuk menahan suspek dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat paket syabu seberat 3.76 gram bersama beberapa helaian kertas yang mencatatkan rekod jualan dadah.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui empat lagi paket syabu seberat 54.53 gram yang disembunyikan di ruang penyimpanan barang di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Habibi berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM5,829 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek seorang penganggur yang menjadi dalang kepada sindiket yang memperolehi dadah dari pengedar di Kampung Cenderamata 2, Likas.
“Siasatan mendapati, suspek menerima upah sebanyak RM100 hingga RM300 untuk setiap penghantaran yang dianggarkan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati positif,” katanya.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.
Tamat







