Kota Marudu: Episod putus tunang seorang wanita berakhir tragedi apabila ibunya mati ditetak tunangnya sendiri, dalam kejadian di Kampung Kuyuh, Pitas, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Habibah Abungon, 68, mati akibat kecederaan parah akibat diserang suspek.
Dalam kejadian seluruh ahli keluarga tunangnya yang berada di rumah turut cedera diserang suspek berusia 29 tahun yang mengamuk.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek dikatakan datang ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampung di Paitan.
Bagaimanapun katanya, wanita terbabit tidak menuruti permintaannya dan menyatakan mahu memutuskan tali pertunangan.
“Akibat perkara itu, suspek dipercayai bertindak agresif dan mengamuk dengan menggunakan senjata parang.
“Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama adik, kakak dan bapanya. Semua empat mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Izaan berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mayat mangsa yang maut terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai.
Manakala katanya, semua mangsa yang terbabit pula sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Tamat










