Lahad Datu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun maut selepas terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan lebih 100 meter dalam kejadian di Sungai Bangingod, Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa dikatakan bersama kakaknya, 4 tahun, pergi ke tepi sungai berkenaan dipercayai tanpa disedari neneknya sedang memetik cili di belakang rumah mereka.
Episod malang itu berlaku apabila kedua-dua mangsa tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras.
Kejadian malang itu akhirnya disedari ahli keluarga di rumah selepas kakak mangsa menjerit meminta pertolongan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, sebaik terdengar jeritan cucunya, nenek mangsa berusia 49 tahun bersama seorang lagi anak perempuannya terus bergegas ke tepi sungai berkenaan.
Katanya, mereka kemudiannya berjaya menarik kakak mangsa namun gagal menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras.
“Polis yang menerima maklumat kejadian terus mendapatkan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Lahad Datu, untuk membantu operasi mencari mangsa.
“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Felda Gugusan Sahabat bersama penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, mangsa akhirnya berjaya ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mayat mangsa terus dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Rohan berkata, ekoran kejadian itu, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap nenek mangsa dan kedua ibu bapa mangsa berusia 26 tahun untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah atau cuai.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap bapa mangsa yang juga warganegara Indonesia.
“Ini adalah kes cuai kedua yang berlaku dalam tempoh sebulan selepas kejadian seorang lagi kanak-kanak yang maut dibaham buaya disebabkan kecuaian penjaga dan ibubapa mengawasi anak masing-masing,” katanya.
Tamat






