16 Dikompaun Di Pusat Hiburan.

Kota Kinabalu: Seramai 16 individu dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pusat hiburan, di Lintas Plaza, di sini, malam tadi.

Dalam operasi jam 11.30 malam itu, operasi dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan pemantauan OP Covid19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan, pihaknya mendapati premis berkenaan sedang beroperasi dengan sekumpulan individu sedang berhibur di kelab malam berkenaan.

Katanya, pasukan polis kemudiannya menahan 10 lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun untuk pemeriksaan dan proses dokumentasi selepas didapati ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Mereka yang dikompaun didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8), Peraturan 10 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11 dan dikenakan kompaun.

“Operasi ini dijalankan berikutan kerajaan masih melaksanakan PKPB dan masyarakat hendaklah mematuhi sebarang SOP yang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penentu kejayaan PKPB.

“Mana- mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya.