Mayat Remaja Lemas Ditemui.

KOTA KINABALU: Pencarian seorang remaja yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Pantai Karambunai, di sini, sejak tiga hari lalu berakhir dengan penemuan satu mayat seorang lelaki pagi tadi.

Mayat remaja berusia 19 tahun itu ditemui jam 9.40 pagi di kedudukan 2 batu nautika dari pantai karambunai yang juga lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penemuan itu hasil usaha dijalankan pasukan Bot Kilat 39 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Katanya, sebaik ditemui, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar dan dilaporkan tiba pada jam 12.10 tengahari tadi.

“Pihak keluarga mangsa mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah mangsa yang hilang dan jenazah seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.00 petang tadi dan pencarian selama tiga hari itu meliputi keluasan sektor pencarian seluas 140 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, operasi dijalankan membabitkan enam aset laut daripada pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Katanya, gerak SAR itu dijalankan dengan kekuatan seramai 50 orang pegawai dan anggota.

“Operasi SAR turut mendapat bantuan dari Pasukan Gerakan Udara PDRM yang menggunakan dron bagi mengesan serta mencari mangsa melalui udara.

“Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah terlibat sepanjang tiga hari operasi SAR ini berlangsung sehingga membawa kepada penemuan mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menasihati masyarakat terutama komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang kecemasan yang berlaku di perairan negeri Sabah dan W.P Labuan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau kepada talian kecemasan MERS 999.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Yusof Sihud, 19 tahun dari Kampung Lokok, Sepanggar hilang sebelum dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di pantai berkenaan.

Tamat