49 Warga Asing Ditahan.

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 49 warga asing dalam operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan rumah setinggan di Taman Bunga Sulaman, di sini, Selasa lalu.

Operasi selama dua jam bermula jam 11.50 malam itu membabitkan seramai 101 keanggotaan daripada JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, operasi turut disertai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad berkata, dalam operasi itu, seramai 114 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 29 orang warga Filipina dan 20 orang warga Indonesia ditahan.

“Tangkapan membabitkan seramai 23 lelaki dan 12 wanita dewasa serta 14 kanak-kanak kerana disyaki melakukan kesalahan antaranya Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat- syarat pas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Sade berkata, semua tahanan ditempatkan di Pusat Kuarantin Dan Transit, Depot Imigresen Papar untuk siasatan lanjut sebelum ditahan bagi tujuan pengusiran.

“Objektif utama operasi ini dilaksanakan ialah untuk membenteras kehadiran warga asing khususnya PATI yang membuat penempatan haram di tanah-tanah simpanan kerajaan atau milik individu awam.

“Tumpuan Operasi Bersepadu juga turut menjurus kepada mengenalpasti mana-mana orang yang berkompromi dengan warga asing atau PATI menceroboh dan mendirikan penempatan haram yang berkaitan seperti yang diperuntukan dalam seksyen 55B, Seksyen 56 (II) D dan seksyen 55, Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya.

Sehubungan itu, Muhamad berkata, JIM Sabah memberi amaran kepada warga asing khususnya PATI supaya jangan sesekali menceroboh penempatan awam terutamanya tanah simpanan kerajaan untuk dijadikan penempatan haram mereka sehingga mewujudkan klauster setinggan.

Katanya, amaran yang sama ditujukan kepada mana-mana pihak yang bersubahat untuk membantu aktiviti yang membawa kepada pencerobohan ke atas penempatan awam.

“Suka saya mengingatkan kepada mereka yang berkenaan, pihak JIM Sabah akan mengambil tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang terlibat.

“JIM Negeri Sabah juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada jabatan ini kawasan penempatan haram yang didapati menjadi penempatan PATI di sekitar kediaman mereka,” katanya.

Tamat