Ranau: Seorang penunggang motosikal ditahan polis selepas didapati membawa 69.61 gram dadah jenis syabu ketika cuba melepasi sekatan jalan di kilometer 18, Jalan ranau-Tambunan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, lelaki terbabit ditahan polis untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dikerah ke lokasi sekatan jalan.
Katanya, pasukan berkenaan yang turut dibantu petugas sekatan jalan 3, di lokasi berkenaan berjaya menahan suspek.
“Ketika diperiksa, polis berjaya menemui dadah berkenaan yang disimpan di bakul motosikal suspek.
“Dadah yang disyaki jenis syabu berkenaan dianggarkan bernilai RM6,961 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Sammy berkata, IPD Ranau memandang serius berkenaan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.
Katanya, pihaknya akan terus giat menjalankan operasi pemantauan dan pencegahan kegiatan ini daripada terus berleluasa.
“Justeru itu, polis memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak menjadikan kegiatan pengedaran dadah ini sebagai punca pendapatan ataupun terbabit dalam penggunaannya.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah,” katanya.
Sammy berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat juga digalakkan supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan segera.
“PDRM Ranau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang tampil menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan kedua membabitkan kes jenayah dadah tahun ini,” katanya.
Tamat








