LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 81 tahun yang cedera ditikam, akhirnya disahkan meninggal dunia selepas sebulan bertarung nyawa di Hospital Tawau, semalam.
Mangsa yang ditikam 12 Februari lalu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun di rumahnya di Kampung Pisang, di sini, dikatakan diserang kerana tidak memberikan syabu kepada suspek.
Suspek turut mendakwa wanita warga emas terbabit adalah pengedar syabu di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.03 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Tawau, Dr Aishah.
Katanya, dengan perkembangan terbaru itu, suspek yang dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan akan diklasifikasi semula kepada Seksyen 302 akta yang sama atas kesalahan membunuh.
“Dalam kejadian Februari lalu, mangsa cedera di leher selepas ditikam seorang lelaki bernama Aziz menggunakan sebilah pisau lipat.
“Mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan suspek beberapa jam selepas kejadian diterima.
Selain itu katanya, polis berjaya menemui senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Pertuduhan sudah dijalankan terhadap suspek mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Lahad Datu pada 5 Mac lalu.
“Suspek turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta tiga sebatan,” katanya.
Rohan berkata, bagi pertuduhan Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan pula sepatutnya disebut semula di mahkamah pada 1 April depan.
Tamat








