Kota Kinabalu: Pasukan Papar berjaya menewaskan Putatan 2-0 pada aksi kedua perlawanan Kejohanan Piala Dato Sri Bung Moktar Radin, di padang SAFA, hari ini.
Selepas tewas 4-0 kepada Kota Kinabalu, semalam, skuad Papar mempamerkan aksi lebih garang dengan melakukan serangan demi serangan untuk mencari gol awal perlawanan.
Biarpun pasukan Papar menguasai permainan pada separuh masa pertama namun ketangkasan pertahanan lawan berjaya mematahkan setiap percubaan yang dilakukan.
Papar akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-56 menerusi rembatan kencang yang dilakukan pemain penyerang mereka Mohammad Hanif Suraimin.
Tidak cukup dengan itu, pasukan Papar meneruskan serangan bertali arus sehingga berjaya mencatat gol kedua menerusi seorang lagi penyerang lincah Mohammad Syam Abdul Latif pada minit ke-70.
Pasukan Putatan cuba merapatkan kedudukan dengan membuat tiga pertukaran pemain selepas itu namun gagal mencari gol sehingga ke wisel penamat.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Zon Pantai Barat kejohanan berkenaan, Lokman Sunggim ketika ditemui berkata, kejohanan yang berlangsung sejak semalam itu cukup memberi impak positif.
Katanya, ini akan memberi peluang kepada pemain muda bawah 18 tahun mempamerkan bakat masing-masing untuk diketengahkan.
“Setiap pemain yang berkebolehan dan berbakat dalam kejohanan ini akan diserapkan ke Akademi Bung Moktar Radin.
“Setakat ini, kita menyasarkan seramai 30 pemain akan terpilih dari seluruh negeri untuk diserapkan ke akademi berkenaan sebagai salah satu usaha memajukan bola sepak negeri Sabah,” katanya.
Tamat







