KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyedari masih banyak pembinaan balai bomba kategori E dan D diperlukan khusus untuk kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, balai bomba kategori ini perlu diwujudkan di kawasan terpencil, termasuk kawasan pulau yang sering kali berhadapan musibah kebakaran.
Katanya, langkah itu adalah usaha JBPM untuk mempercepatkan tindakan sekiranya berlaku sebarang kebakaran di kawasan yang berjauhan dari balai bomba sedia ada.
“Kajian berhubung mengenal pasti kawasan yang perlu diwujudkan balai bomba kategori ini dijalankan setiap lima tahun dan kali terakhir dilakukan pada tahun 2015.
“Sudah tentu negeri besar seperti Sabah dan Sarawak memerlukan lebih banyak kemudahan ini disebabkan jarak dan bentuk muka kawasan berkaitan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.
Mohammad Hamdan berkata, balai bomba bagi kedua kategori itu akan menempatkan pegawai bomba bantuan, bomba sukarela serta memiliki pos sendiri.
Katanya, JBPM juga menyedari negeri ini memerlukan banyak pembinaan Balai Bomba Atas Air untuk kawasan nelayan seperti pulau bagi memastikan respon cepat sekiranya berlaku kemalangan ataupun kebakaran.
“Begitu juga di kawasan gunung yang mana kita sudah mewujudkan Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang terdiri daripada malim gunung untuk membantu sekiranya diperlukan.
“Semua mereka ini dilatih dan didedahkan dengan teknik proses penyelamatan yang diperlukan dan bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 71 anggota dan pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala 17 lagi menerima Darjah Kebesaran JBPM.
Mendahului penerimaan Darjah Kebesaran Bomba itu adalah Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah yang menerima Pingat Ketua Pengarah Bomba.
Manakala, Timbalan Penguasa Bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sabah, Adnan Pudin pula menerima Pingat Jasa Bomba.
Tamat







