Kudat: Kecekapan pasukan polis menjalankan siasatan berjaya menahan semula seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari Mahkamah Kudat, di sini, semalam
Dalam kejadian jam 3 petang itu, banduan lelaki terbabit dikatakan dibawa ke mahkamah berkenaan untuk sebutan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 akta yang sama.
Bagaimanapun, selepas sebutan kes, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah.
Banduan berusia 35 tahun itu berjaya ditahan semula oleh sepasukan polis di kawasan Kampung Pengaraban, di sini, kira-kira jam 7 petang.
Difahamkan, banduan itu sedang menjalani hukuman satu tahun penjara di Penjara Kepayan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan banduan terbabit sudah ditahan, semalam.
Katanya, selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan polis segera menjalankan siasatan dan tidak sampai empat jam, banduan itu dikesan dan berjaya diberkas semula.
Tamat








